Cukai/Hasil Tanah

1. Apakah Cukai Tanah?

Cukai Tanah ialah cukai yang mesti dibayar oleh Tuan Tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Tanah (KTN Sek.5). Cukai Tanah mesti dibayar sepenuhnya mulai 1 Januari setiap tahun dan akan menjadi tunggakan mulai 1 Jun setiap tahun.

2. Perbezaan 'Cukai Tanah' dan 'Cukai Taksiran'?

Cukai Taksiran atau juga dikenali sebagai "Cukai Pintu' dibayar kepada pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar dan perlu dibayar dua kali setahun (Akta.K. Tem 171),  manakala Cukai Tanah adalah cukai yang dikenakan bagi tanah hak persendirian dan wajib dibayar sekali setahun kepada pihak Berkuasa Negeri (KTN Sek. 5).

3. Bagaimana anda boleh membayar hasil/cukai?

Cukai tanah juga boleh dijelaskan secara online dengan melayari laman web PTG Kedah www.ptgkedah.gov.my atau mana-mana pejabat tanah daerah (Negeri Kedah) berhampiran anda.

4. Bila perlu bayar bil cukai tanah?

Anda diberi tempoh untuk membayar bil cukai tanah antara 1 Januari sehingga 31 Mei setiap tahun.

5. Apa akan terjadi jika hasil/cukai tidak di bayar sebelum 1 Jun setiap tahun?

Jika tidak dibayar sebelum 1 Jun, cukai tanah akan menjadi tunggakan atau hutang anda kepada Pihak Berkuasa Negeri. Tunggakan ini akan dikenakan DENDA LEWAT kepada kadar yang ditentukan oleh pihak berkuasa negeri daripada jumlah tunggakan (KTN Sek 93,94(2).

6. Apa akan terjadi jika hasil/cukai dan tunggakan tidak di bayar?

Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Tanah akan menghantar notis 6A kepada tuan tanah supaya membayar cukai dan tunggakan dalam tempoh 3 bulan. Bayaran notis 6A sebanyak RM5.00 setiap pemilik akan dikenakan.(KTN Sek 97)

7. Apa akan terjadi jika hasil/cukai dan tunggakan tidak di bayar dalam tempoh 3 bulan Notis 6A di serahkan?

Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Tanah akan mengisytiharkan tanah tersebut dirampas MENJADI MILIK KERAJAAN sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang. (KTN Sek 100, Sek. 129, Sek. 130 dan Sek. 131) Perampasan akan diisytiharkan dalam notis 8A dan diwartakan dalam warta Kerajaan Negeri (KTN Sek. 131). Dengan terjadinya perampasan, anda tidak lagi mempunyai hak ke atas tanah tersebut.

8. Saya tidak terima bil. Bagaimana nak bayar bil cukai tanah?

Anda masih perlu membayar cukai walaupun tidak mendapat bil cukai tanah. Tanggungjawab ini digariskan dalam Seksyen 93, Kanun Tanah Negara 1965.

Jika anda masih tidak menerima bil selepas minggu ketiga bulan Januari, sila hubungi kami Unit Hasil Pejabat Tanah Baling dan kami akan mengirimkan bil yang baru secepat mungkin. Ataupun anda boleh datang sendiri ke Pejabat Tanah Baling untuk mendapatkan salinan bil cukai tanah anda.

9. Lain-lain pertanyaan berkenaan cukai tanah?

Sila hubungi kami Unit Hasil Pejabat Tanah Baling di talian berikut untuk maklumat lanjut :

TEL : 04-470 1281 / FAX : 04-470 3296